Pages

Tuesday, January 26, 2016

Musim salju

26 January 2016

Aku masih lagi berada di benua Napolean dan perjuangan ini akan berakhir dalam beberapa bulan sahaja lagi. Hingga kini aku masih merasakan diri ini bermimpi berada di benua ini, sepanjang perjalanan hidupku di benua ini banyak liku-liku hidup yang telah aku tempohi ada yang manis dan ada juga yang pahit perlu aku telan samada rela atau terpaksa.

Sepanjang kehidupan aku disini banyak yang telah aku pelajari, dari segi rohani dan juga jasmani, ia banyak memberi impak pada jati diri dan menyedarkan aku tentang dunia sebenar. Mengenal budaya yang tiada langsung kaitan dengan budaya ketimuran yang penuh sopan santun dan kelembutan ternyata jauh bezanya dari budaya asalku.

Thursday, December 13, 2012

Mencari cahayaMu


Mencari diri ini dalam kegelapan malam 
Hanya gelap malam yang dapat ku jumpa
Tiada jasad yang kelihatan mahupun bayanganku

Saat ini ku harapkan hanyalah sinaran cahayaMu 
Cahaya yang dapat menerangi gelap malam yang sunyi ini
Begitu jua jiwaku yang menagih cahaya hidayahMu 

Hanya berbekalkan doa dan sekelumit kudrat
Ku gagahi jua penghijrahan ini
Penghijrahan dari lembah kegelapan ke cahaya kebenaran

Perjalanan ini begitu berliku membuat ku sering kali tersungkur
Acap kali diri ini tersungkur ku bangun semula tanpa mengerti akan putus asa
Tiada yang ku pinta cuma secebis kemanisan dalam beribadat padaNya...

Saturday, August 27, 2011

Malu...

Mencari yang abadi didalam kemelut diri
Terasa jauh darinya kerana dosa dosa ku
Tiada apa yang dapatku berikan padanya
Kerana diri ini penuh dengan dosa dosa
Adakah diri ini layak menerima rahmat darinya
Adakalanya diri ini malu mengatakan cinta
Kerana tiap kali aku tersungkur dek kerana dosa dosa ku
Bagaimana mahu aku katakana cinta jika diri ini sentiasa mengkhianatinya…

Saturday, July 2, 2011

Perjalanan

Perjalanan ini bukan hanya perjalanan yang hanya mengeluarkan kudrat tapi ia juga memerlukan aku untuk memerahkan akal sambil berfikir apa itu kehidupan. Dengan hanya duduk@melekat di daerah yang aku duduki tidaklah menambahkan apa – apa ilmu ataupun pengalaman, jadi otak yang sarat dengan persoalan yang hanya mampu dijawab dengan pengalaman kerana pengalaman adalah guru yang terbaik. Dengan ke utara timur dan barat banyak sudah aku lihat akan telatah manusia dari segi pertuturan, kelakuan dan budaya terasa seperti banyak sudah aku pelajari tetapi ini barulah permulaan bagi aku untuk mengenal erti kehidupan. Pengalaman juga mengajar aku erti kematangan, dengan cara aku berdiri pada kaki sendiri banyak sudah aku terokai pengalaman yang tidak boleh di tafsirkan melalui perkataan dengan cara begini juga aku dapat mengenal diri dan yang lebih penting mengenal yang satu. Munkin cara aku berbeza dari yang lain tapi inilah aku kerana diri ini tidak boleh menjadi kamu walaupun suatu ketika dahulu aku ingin menjadi kamu.

Harta pangkat mahupun wang ringgit tidak mampu membeli apa yang aku perolehi sekarang ini kerana apa yang sudah digemggaman aku adalah hak mutlak harta yang bernilai yang selama ini aku cari dan ini hanyalah permulaan dari kembara ilmu aku tetapi sudah beribu langkah aku terokai dengan jasad ini, perjalanan ini sunyi tanpa teman. Kerana ada seorang tua berkata “Kekuatan sesuatu umat itu pada jamaahnya” dengan kukuhnya sesuatu umat itu barulah dapat kita merubah sesuatu yang sudah menjadi adat, adat yang sentiasa mencalarkan hokum agama, adat yang diagung – agungkan oleh yang jahil. Dengan mempunyai jamaah yang memahami objektif utama kembara ini dan juga memahami erti kehidupan yang sebenar dan tidak merasa terikat dengan harta dunia dan memahami sebenar tujuan kita disini.

Sesungguhnya perubahan itu mudah tapi untuk kekal di dalam perubahan bukanlah mudah. Hanya yang berhati waja dan iman yang kokoh mampu melawan badai yang melanda pabila nafsu dan iman bergesaran antara satu sama lain, orang yang dahulunya sentiasa ke masjid untuk berjemaah tapi kini sentiasa melengahkan waktu solatnya, yang dahulunya menutup semua auratnya tapi kini seperti berbogel semasa bersiar –siar, sentiasalah kita memohan padaNya agar di jauhkan dari semua ini. Memang tidak dinafikan bahawa kita mempunyai nafsu yang sentiasa menjadi senjata bagi syaitan untuk menyesatkan kita tapi ingatlah kita juga mempunyai senjata kita iaitu iman. Tapi iman itu ada naik dan turunnya jadi sentiasalah kita mempersiapkan diri untuk melawan segala serangan yang akan diberikan dari musuh kita, persiapkanlah diriMu dengan bekalan yang cukup supaya tidak kecundang di medan perang nanti.

Nota ini aku utusankan untuk diri ini yang sentiasa alpa dan lupa dan kadang kala sentiasa jauh dari yang Esa. Kepada pembaca nasihat aku carilah ilmu yang bermanfaat dan pahamkan fardu ain, carilah harta yang mampu membawa ke akhirat. Akhir kata dari insane yang kerdil ini tuntutlah ilmu sehingga nafas yang terakhir.

Abdullah Omar
Jumaat, Julai 01,2011

Wednesday, May 25, 2011

La Tahzan

Tarikh 25 mei adalah tarikh yang menguji tahap kesabaran aku kerana sesuatu yang berharga telah hilang dari dakapan Ku. Inilah yang dikatakan ujian dari illahi yang menyatakan setiap ujian yang ditimpa olehnya adalah untuk menguji sesorang hambanya itu adakah ia beriman dengannya semasa ditimpa kesusahan atau sebaliknya. Setiap apa yang ditimpa pasti ada hikmahnya dan Dia menyuruh kita berfikir tentang apa yang terjadi. Jika di ikutkan nafsu memang sedih kerana kehilangan sesuatu yang kita sayang tetapi jika di nilai dari sudut keimanan ia adalah penyataan allah tentang kasihnya pada hambanya. Munkin apa yang terjadi ini menjadi satu hentakan dari lamunan yang lama terlena dari kesenangan yang di berikannya. Aku berterima kasih atas teguran ini dan berusaha untuk menjadi khalifah yang sentiasa menyebarkan ajarannya walaupun aku masih di peringkat pemulaan. Sampai disini sahaja apa yang penting La Tahzan Pak Chuuu

Tuesday, May 17, 2011

....

Sujud syukur kehadrat ilhai atas limpah kurnianya dan nikmatnya dapat lagi aku bernafas di bumi ciptaanya. Tiada terjangka dek pemikiran yang cetek ini dengan pemberiannya yang tidak terhingga atas nikmat yang diberikan membuatkan diri ini malu dihadapannya kerana sering kali alpa atas segala tindak tanduk seharian aku yang semakin lama semakin menjauh dari landasannya. Alhamdulillah aku masih lagi diberi kesempatan untuk bernafas dibuminya untuk terus meneruskan misi aku sebagai khalifah di muka bumi ini.
Pada Sabtu yang lepas berlangsungnya perkhemahan yang dianjurkan oleh persatuan aku yang diadakan di Sungai Chiling, Kuala Kubu Bharu, Selangor. Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar dan terima kasih kepada semua ahli yang menjayakan perkhemahan ini dan berharap agar anda sekalian seronok dengan segala aktiviti yang dijalankan. Kepada Guru pengiring jutaan terima kasih atas segalanya yang diberikan, tiada yang lebih bermakna dari ilmu yang diberikan oleh mu akan ku semat di jiwa dan mempraktikannya. Tiada apa lagi yang ingin dicoretkan disini kerana sudah ketandusan idea untuk menaip, aku mengundurkan diri kerana banyak lagi kerja untuk diselesaikan lagi...tet....tet...tet

Tuesday, April 26, 2011

AKU INGIN....

Aku Benar-Benar Mencintai Mu

Sepenuh Hati Ini

Biar Berkali-Kali Aku Jatuh

Namun Kau Tetap Memimpin Ku Untuk Bangkit Semula

Terima Kasih Atas Dorongan Mu

Apa yang Penting Disaat Ini Aku Ingin…

Aku Ingin Berubah Kerana MU Ya ALLAH….

Allahuakbar… Allahuakbar…Allahuakbar…



Thursday, April 14, 2011

Terima Kasih atas peringatan Mu...

Sering kali aku merasakan diri ini tidak punya teman
Sering kali aku merasakan diri ini sudah hilang kasih dari Mu
Sering kali aku merasakan aku tidak punya apa - apa

Perasaan yang menghamburkan aku jauh dari Mu
Perasaan yang menjarakkan perbezaan aku dengan Mu
Perasaan yang menjadikan aku keliru berada disisi Mu

Apakah aku layak menyoal diri Mu
Apakah aku seperti kayu yang sudah dimamah anai -anai
Apakah aku layak menerima kewujudan ini

Sengatan yang menyedarkan aku dari lena
Sengatan yang memberi maksud Kau masih menyanyangi diri ini
Sengatan yang memberi tanda peringatan kepada ku

Terima kasih kerana di atas peringatan itu
Terima kasih atas kesedaran aku dari leka
Terima kasih kerana kasih dan rahmat Mu tidak henti padaKu



Tuesday, April 12, 2011

Terlebih lajak

Salamunalaikum terima kasih kerana singgah ke blog PakChuuu. Pagi selasa nie hanya ingin bercerita sedikit tetang semalam yang hangat. Baru sahaja dalam sejam lebih baru habis latihan. Biasalah setiap minggu PakChuuu ada latihan mingguan yang perlu dihadiri jika tak menghadirkan diri maka kurang lah ilmu untuk bidang itu. Ni PakChuuu hanya ingin berkongsi pengalaman tadi, semasa latihan tadi setiap pasangan yang PakChuuu bersama pasti akan tercedera atau terkehel dan apa-apa yang seangkatan dengannya pasti akan terkena pada pasangan PakChuuu. Bukan ingin mengatakan yang PakChuuu ni hebat orangnya, bukan itu tujuannya (biasa2 jer) cuma pada latihan kali ini semuanya terlebih lajak sampai ada yang kata "Kau hari ni terlalu agresif la". Tiada secebis pun PakChuuu ingin melepaskan geram/marah pada pasangan PakChuuu cuma...PakChuuu sendiri pun tidak dapat menjawab persoalan itu. Nasihat PakChuuu berpada-padalah semasa latihan ingatlah orang yang tersayang...Maafkan lah hamba yang hina ini...

Ikhlas dariku: AbuOmar@PakChuuu

Monday, April 11, 2011

KeluhanNya


Tiada yang dapat di ungkap hanya keluhan kecewa dapat di dengar keluar dari mulutnya. Tiada daya yang dapat menangkis pergelutan itu. Oh dia hanyalah insan yang tidak berdaya lagi hina di sisinya, mengapa ujian ini di timpa padanya. Usahlah kau persoalankan aturannya kerana DIA lebih mengetahui apa yang dipersembahkan pada diriNya.

Berlarilah agar kau jauh dari arena itu bersabarlah jika kau mahu merasa kehadiran Mu disisi nya
dan cekalkan hati Mu menghadapi apa yang dipersembahkan dari Nya pada Mu.

Inilah yang dinamakan Lumrah Kehidupan.

Sunday, March 20, 2011

Melentur Diri

Semakin lama aku merenung diri ini

Semakin ia mendesak aku untuk berubah

Semakin jauh aku dari lamunan itu

Semakin rindu aku padaNya


Tiap detik aku mengira usiaku yang luput dimamah masa

Tiap itu juga aku mencari guru yang sejati dan penyayang

Tiap itu juga aku menguatkan semangatku untuk amalkannya

Tiap itu juga aku kecundang dek musuh hakikiku


Lihatlah kebenaran yang sudah terbentang untukmu

Lihatlah apakah kesannya yang akan terjadi

Lihatlah pada masa hadapan apa yang akan terjadi

Lihatlah pada diri jika kau ingin berubah


Perubahan tidak terjadi pada yang pengecut

Perubahan tidak terjadi tanpa kesedaran

Perubahan tidak diperlukan jika kau malas untuk berubah

Perubahan terjadi bagi yang berani menanggung risikonya

Monday, February 14, 2011

Apa Salahnya Perempuan Tak Pandai Masak?

Kalau perempuan tidak boleh memasak, dikutuk dan disuruh belajar. Kalau lelaki tak boleh jadi imam kita kata okay saja. Jangan diperbesarkan nanti mereka terasa hati.

"Apalah perempuan, tak pandai masak siapa nak kahwin dengan awak!"

Begitulah kata rakan sejawat lelaki pada seorang anak dara, juga rakan sejawat kami. Maka jawaplah si gadis ayu itu yang dia tidak sempat belajar memasak sebab dari kecil tidak digalakkan keluarga sebaliknya di suruh menumpukan perhatian pada pelajaran saja. Setelah tinggal di asrama, peluang pulang ke rumah terhad dan tidak sempat turun ke dapur membantu ibunya.
''Habis sekarang kenapa tidak belajar?" Tanya sang lelaki lagi dengan penuh semangat.

''Sedang belajarlah ni tetapi selain sibuk dengan kerjaya saya juga sibuk belajar agama, jadi belajar memasak tetap tidak diutamakan!" Begitu jawab si gadis yang membuatkan lelaki tadi menggeleng-geleng kepala. Baginya tidak sempurna seorang wanita jika tidak tahu memasak. Wanita sepatutnya buat begitu juga.

Syarat utama menjadi suami mesti boleh menjadi imam. Walau ada yang kata, jika itu syaratnya bermakna makin ramai wanita yang hidup bujang seumur hidup.

Lelaki meletakkan kebolehan wanita di dapur sebagai perkara utama dan ungkapan hendak memikat suami, perlu pikat seleranya sering diguna pakai.

Tidak kiralah jika wanita itu berpelajaran atau berjawatan tinggi dan penyumbang utama kewangan dalam rumahtangganya. Sekarang bukan asing lagi gaji isteri lebih tinggi daripada suami. Namun kedudukan suami sebagai raja tidak pernah dilupa walau dia tidak mengambil inisiatif mempelajari ilmu menjadi imam. Ilmu bermain video game di komputer mereka rasa lebih perlu.

Kalau tidak tahu memasak disuruh belajar dan sesudah belajar perlu handal. Jika handal bukan setakat masak untuk keluarga sendiri, kalau boleh perlu boleh memasak untuk tiga pasukan bola.

Begitulah standard yang telah ditetapkan. Bolehkah kita meletakkan undang-undang itu kepada lelaki juga. Kalau tidak pandai jadi imam, belajarlah. Mula-mula jadi imam kepada keluarga sendiri, sudah terror boleh mengimam satu taman perumahan juga.

"Sibuk suruh kita handal memasak, mereka tu bolehkah jadi imam?" Dengus teman wanita yang lain.

Betul juga. Berapa kerat lelaki yang menjadikan sembahyang jemaah di rumah bersama anak isteri sebagai agenda utama, selain keperluan memenuhi pelbagai seleranya? Maka bertanyalah wanita kini kepada beberapa lelaki tentang kebolehan yang satu ini.

Ternyata ramai yang menjawab tidak confident menjadi imam sebab takut bacaan al-Fatihah tidak sempurna, salah tajwid atau pun dia merasakan isterinya lebih handal. Ada yang kata lebih elok dia dan isteri sembahyang sendiri-sendiri. Ada juga menjawab, rasa kelakar pula apabila dirinya yang rugged menjadi imam.

Isu ini sepatutnya kita beratkan sepertimana masyarakat memberatkan wanita perlu pandai memasak jika mahu bersuami. Lelaki juga harus boleh menjadi imam supaya kewibawaan mereka sebagai ketua keluarga tidak goyah atau menjadi mangsa 'queen control'. Kalau tidak pandai, belajarlah sekarang.

Jika wanita sibuk disuruh belajar, apa salahnya lelaki pun sama??!

Sunday, November 7, 2010

Rindu


Setiap nafas aku teringkatkan Mu
Setiap langkah terasa bersama Mu
Setiap detik dan ketika mahu bersama Mu

Selagi jantung berdenyut hati ku sentiasa terpaut pada Mu
Selagi darah mengalir disetiap rongga badanku
Selagi itu jiwaku sentiasa bersama Mu
Adakah ini hanya dusta belaka?
Adakah ini hanya mimpi?
Adakah ini hanya mainan perasaan?

Dimanakah Dia di hatiku
Dimanakah aku di sisi Mu
Dimanakah ingin aku membawa hati yang lara ini

Semakin ku tahan rindu ini semakin seksa
Semakin ku pendam rindu ini semakin gila dibuatNya
Semakin ku mengasingkan jiwa rindu ini semakin menebal rasa rindu ini

Ku patrikan jiwa ini hanya untuk Mu
Ku patrikan rindu ini hanya untuk Mu
Ku patrikan cinta ini hanya untuk Mu

Dengan memberi rindu ini pada Mu
Dengan memberi jiwa ini pada Mu
Dengan memberi cinta ini pada Mu

Segala rindu mampu terobat
Segala penyakit jiwa mampu sembuh
Segala cinta akan di balas oleh pencintaNya

Friday, November 5, 2010

Landasan Perjalananku

Melangkah aku ke ruang itu membawa aku ke lembah baru

Munkin ini jalan untuk aku berubah menjadi insan yang berguna

Hati ada terselit rasa curiga dengan jalan yang membawa aku

Tapi jasad aku tergerak dengan sendiri kerana ingin ke sana


Perubahan yang munkin akan merubah seluruh kehidupan aku

Adakalanya jiwa ini terseksa kerana harus meninggalkan Nya

Meninggalkan rutin harian yang terkadang menyeksa aku

Jasad ini tidak mampu bertahan dan ingin perubahan kepada yang lebih baik


Walaupun jalan ini menuju kejayaan tapi dugaan di jalan ini semestinya berat

Ada suara-suara halus yang mengoda aku untuk kembali ke jalan lama

Dengan semangat yang jitu lagi kokoh aku gagahi jua

Kerana manisNya akan aku rasa setelah pahitNya aku telan